TEORI PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA (B2)

Profesor Dr. Stephen Krashen merupakan pakar dalam bidang linguistik, khususnya dalam teori pemerolehan B2.  Berdasarkan teori monitor, Krashen telah mengemukakan 5 teori hipotesis tentang pemerolehan B2.

                                                          Profesor Dr. Stephen Krashen



 

 TEORI MONITOR


Dalam teori ini terdapat 3 faktor dalaman yang beroperasi dalam minda manusia semasa manusia mempelajari B2. Terdapat dua alat memproses bahasa yang beroperasi secara bawah sedar iaitu ‘filter’ dan ‘organizer’. Alat memproses bahasa yang beroperasi secara sedar pula dikenali sebagai monitor (seperti dalam Rajah 1). Dalam teori ini, diandaikan bahawa ketika pelajar mempelajari B2, pelajar tidak dapat menerima semua bahasa yang mereka dengar.

Bahasa yang ditapis berdasarkan faktor-faktor afektif seperti motif, keperluan sikap dan keadaan emosi. Dalam kajian oleh Dulay et.al  yang telah dibincangkan dalam buku Pengantar Psikolinguistik oleh Noor Aina Dani, 2007  beliau menggunakan beberapa seperti istilah ‘filter’  yang digunakan untuk merujuk faktor-faktor afektif yang menapis keluar bahagian-bahagian tertentu daripada persekitaran bahasa pelajar. ‘Organizer’ pula merupakan bahagian minda pelajar yang mengatur bahasa baru. ‘Organizer’ berperanan membina sistem peraturan bahasa yang baru secara beransur-ansur. ‘Organizer’ digunakan oleh pelajar untuk menerbitkan ayat-ayat yang tidak dipelajari melalui hafalan. ‘Monitor’ merupakan bahagian sistem dalaman pelajar yang memproses maklumat dengan secara sedar. Contohnya, ketika pelajar menghafal peraturan tatabahasa dan mencuba menggunakan peraturan itu secara sedar ketika berbual.


    
                                                     Rajah 1: Proses Dalaman

(Sumber : Noor Aina Dani, 2007)

 

Motivasi juga bertindak menapis keluar bahagian-bahagian bahasa yang difikirkan tidak penting daripada minda pelajar. Menurut Noor Aina Dani (2007) terdapat 3 jenis motivasi yang mempengaruhi pembelajaran B2 pelajar iaitu;

a)    Motivasi Integratif

Motivasi ini merupakan kemahuan untuk menyertai hidup masyarakat yang menuturkan bahasa yang dipelajari oleh seseorang.

 
b)    Motivasi Instrumental

Motivasi yang merupakan kemahuan untuk menggunakan bahasa yang dipelajari untuk tujuan-tujuan praktikal misalnya untuk mendapatkan pekerjaan.

 
c)    Motivasi Pengiktirafan Kumpulan Sosial

Motivasi ini merupakan kemahuan memperoleh kemahiran bahasa yang dituturkan oleh kumpulan sosial yang diiktiraf oleh pelajar.

 
‘Filter’  juga merupakan sebahagian daripada keadaan emosi pelajar. Sekiranya kebimbangan pelajar semakin kurang maka semakin baiklah kesinambungan pemerolehan bahasanya. Menurut Noor Aina Dani (2007), filter berfungsi dengan mementukan perkara-perkara yang berikut:

1.    Model-model bahasa sasaran yang dipilih oleh pelajar

2.    Bahagian-bahagian bahasa yang baru yang patut diberi perhatian terlebih dahulu

3.    Masa usaha mempelajari B2 berhenti

4.    Berapa pantas seseorang pelajar boleh memperolehi sesuatu bahasa

Menurut Noor Aina Dani (2007), ‘organizer’ yang bertindak secara bawah sedar memproses data yang dimasukkan oleh ‘filter’. ‘Organizer’ dikatakan bertanggungjawab mengatur sistem bahasa baru seseorang pelajar secara beransur-ansur. Menurut beliau lagi, perjalanan fungsi ‘organizer’ tergambar dalam tiga aspek perlakuan lisan seseorang pelajar. Aspek pertama tergambar melalui beberapa siri peralihan susunan dan hubungan kata-kata dalam ayat atau rangkai kata yang digunakan sebelum sesuatu struktur B2 diperoleh. Sebagai contohnya:

Me no close the door ( I am not going to close the door).

Aspek kedua dapat dilihat melalui kesalahan-kesalahan bahasa yang sering dilakukan oleh pelajar. Sebagai contoh:

            I went to the chiquita house ( I went to the little house).

Aspek ketiga tergambar melalui kelaziman pelajar B2 memperoleh susunan struktur bahasa yang baru.

            I went to school for a....apa persatuan lukisan and balik to main badminton.

Bagi Noor Aina Dani (2007), ‘monitor’ dikatakan bertindak memproses bentuk-bentuk linguistik secara sedar. Beliau berpendapat bahawa pelajar bahasa dapat menggunakan pengetahuan linguistik yang diperoleh daripada ‘monitor’ dengan secara sedar untuk menghuraikan ayat-ayat dan untuk membetulkan atau menyunting pertuturan dan penulisannya. Sebenarnya, terdapat beberapa faktor yang menentukan setakat mana ‘monitor’ digunakan, antaranya:

1.    Umur pelajar atau tahap perkembangan kognitifnya.

Pengawalan bahasa akan menjadi lebih mudah apabila pelajar telah sampai ke tahap operasi-operasi formal iaitu pelajar telah dapat menghubungkan bahasa yang abstrak dengan idea yang hendak disampaikannya.

 
2.    Bahasa lisan yang rumit telah dapat dikuasai.

dalam keadaan ini, monitor memainkan peranan yang penting kerana pelajar terpaksa menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada bentuk-bentuk linguistik.

 
3.    Personaliti pelajar.

Pelajar yang berasa tidak selamat, rendah diri dan takut membuat kesalahan bahasa lebih cenderung menggunakan monitor daripada pelajar lain.