Hipotesis Bahasa Antara
 
 

   
Bahasa antara merupakan satu bidang yang amat berkait rapat dengan pemerolehan atau pemelajaran bahasa sebagai salah satu daripada disiplin ilmu linguistik gunaan yang berkembang luas.  Menurut Selinker 1969 (seperti dalam Noor Aina Dani) istilah bahasa antara digunakan untuk merujuk kepada peringkat peralihan bahasa iaitu dari bahasa pertama ke bahasa kedua (B2). Menurut beliau lagi, bahasa antara bersifat sementara, sentiasa berubah-ubah dan dibentuk oleh pelajar-pelajar B2 semasa menuju ke arah penguasaan bahasa sasaran. Bahasa antara mempunyai dua pengertian makna. Makna yang pertama ialah sistem tatabahasa pelajar di satu tahap dalam satu masa. Makna ini dapat dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu:


a.    Tahap basilect atau prasistematik

Pada tahap ini, pelajar belum menghayati sistem B2 secara keseluruhannya. Pelajar akan melakukan kesalahan bahasa secara rambang. Terdapat juga situasi pelajar menghasilkan struktur bahasa yang betul tetapi pelajar tidak dapat menerangkan sebab-sebab dia menggunakan sesuatu struktur bahasa atau membetulkan kesalahannya.

 
b.    Tahap mesolect atau sistematik

Pada tahap ini, kesalahan bahasa yang dilakukan oleh pelajar adalah tetap. Pada tahap ini juga, pelajar telah mempelajari sistem peraturan B2 tetapi masih belum menguasai bahasa tersebut sepenuhnya. Dalam situasi ini, pelajar-pelajar dapat menerangkan sedikit sebanyak sebab menggunakan peraturan-peraturan tersebut tetapi pelajar tidak dapat membetulkan kesalahan bahasa yang dilakukan.


c.    Tahap acrolect atau pasca sistematik

Pada tahap ini, pelajar telah dapat menghasilkan bentuk-bentuk bahasa yang betul tetapi masih tidak mampan. Dalam situasi ini, walaupun pelajar dapat menghayati peraturan-peraturan tatabahasa B2 tetapi ada masanya pelajar membuat kesalahan kerana kurang prihatin atau terlupa. Pada tahap ini, pelajar dapat membetulkan peraturan tatabahsa yang digunakannya.


Makna yang kedua menurut Noor Aina Dani (2007) ialah barisan sistem tatabahasa yang kunci-mengunci antara satu dengan yang lain sebagai tanda perkembangan bahasa pelajar yang telah melewati batas waktu, misalnya fosilisasi. Fosilisasi merujuk kepada satu keadaan yang wujud apabila pelajar berhenti menghuraikan bahasa antara meskipun terdapat pendedahan bahasa yang cukup, data yang baru atau pengajaran yang baru. Menurut Puteri Roslina Abdul Wahid (2004), bahasa antara yang bercirikan oleh fosilisasi, merupakan satu sistem linguistik apabila penutur sesuatu bahasa ibunda akan mengeluarkan ciri linguistik dalam bahasanya.  Fosilisasi yang sering dilakukan oleh pelajar dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

                      i.        Nafian

Jenis nafian melibatkan ayat yang diringkaskan dengan menggunakan kata nafi. Noor Aina Dani (2007) dalam buku Pengantar Psikolinguistik memberikan beberapa contoh ayat iaitu:

 
·         Dalam tapi sikarang tiada lagi. ( Luka itu dalam tapi sekarang parutnya telah hilang)

·         Tida takut linta. (Saya tidak takut lintah)

·         Tida siap karja rumah. ( Saya didenda kerana tidak menyiapkan kerja rumah)


                    ii.        Pemudahan

Jenis ini merupakan perihal memudahkan tugas berbahasa. Dalam pemudahan unsur-unsur B2 dikurangkan dengan penggunaan struktur linguistik yang lebih mudah daripada apa-apa yang sepatutunya dianggap sebagai norma B2. Misalnya:

 
·         Parna sasat dalam hutan. ( Saya pernah tersesat dalam hutan.)

·         Lima stanga balik jam tuju. ( Kami bertolak pada pukul lima setengah pagi dan balik pada pukul tujuh malam.)

·         Mimpi Ani jatu dari bukit. ( Saya bermimpi Si Ani jatuh dari puncak bukit.)


                   iii.        Generalisasi melampau

Jenis ini merupakan penggunaan peraturan linguistik yang melampaui kelaziman domain peraturan linguistik sesuatu B2. Sebagai contoh:

·         Sana sajala tu carita dia. ( Demikianlah kesudahan cerita itu.)

·         Dia dakat talanggar karita la. ( Dia nyaris-nyaris dilanggar kereta.)

·         Saya jatu naik basikal. ( Saya jatuh daripada basikal.)

Kesimpulannya, aspek kajian bahasa antara menyokong hipotesis yang dibuat oleh Selinker 1975 (seperti dalam Puteri Roslina Abdul Wahid, 2004) yang mengesahkan  andaian yang telah dibuat tentang peluasan hipotesis ke atas penghasilan bahasa antara oleh kanak-kanak prasekolah dalam pemerolehan B2 mereka.