LIMA HIPOTESIS PEMEROLEHAN B2 BERDASARKAN KRASHEN

Asas pembentukan teori monitor adalah berdasarkan kepada:


 
 
                                  Rajah 2 : Lima jenis hipotesis pemerolehan B2

Sumber: dipadankan daripada Krashen,1986 ( seperti dalam Henry Guntur Taringan, 1988)

 
Hipotesis Pemerolehan -  Pembelajaran Bahasa

Krashen mengutarakan 2 cara yang digunakan oleh orang dewasa untuk membangunkan kecekapan B2, iaitu pemerolehan dan pembelajaran. Menurut Krashen  (seperti dalam Noor Aina Dani, 2007) pemerolehan berlaku di bawah sedar, yakni sama dengan cara seorang kanak-kanak memproses bahasa yang diperolehnya secara tidak langsung. Menurut beliau lagi, pembelajaran pula berlaku secara sedar dan berkesudahan dengan mengetahui sesuatu bahasa. Bagi Krashen (seperti dalam Noor Aina Dani, 2007), pemerolehan bahasa terjadi apabila terdapat interaksi yang bermakna hasil daripada komunikasi yang semula jadi yang tidak menghiraukan peri pentingnya bentuk-bentuk bahasa tetapi hanya mengutamakan makna bahasa. Hal ini nyata bertentangan dengan situasi pembelajaran bahasa dalam bilik darjah yang menitikberatkan pembetulan kesalahan bahasa. Menurut Krashen lagi, tumpuan secara sedar kepada peraturan bahasalah yang membezakan konsep pemerolehan bahasa dengan pembelajaran bahasa. Oleh itu, dirumuskan bahawa pembelajaran bahasa tidak dapat menjadi pemerolehan bahasa. Hal ini demikan kerana peraturan sesuatu tatabahasa yang dipelajari secara sedar tidak ada kaitan dengan asas memperoleh sesuatu bahasa sasaran.

 

Hipotesis Monitor

Menurut Zamri Mahamood ( 2007) “B2 yang dipelajari secara sedar bertindak sebagai pemerhati dalam situasi yang memerlukan pelajar mempunyai masa yang cukup untuk menyemak, memberi tumpuan pada bahan dan memahami peraturan seperti ujian tatabahasa yang dijalankan di dalam kelas” (hal.140). Hipotesis monitor ini mempunyai kesan yang penting terhadap pengajaran bahasa. Monitor yang berperanan sebagai pemantau dapat mengubah ‘output’ sistem bahasa yang telah diperoleh sebelum atau sesudah pertuturan dituturkan oleh individu. Oleh itu, Krashen (seperti dalam Noor Aina Dani, 2007) berpendapat bahawa pengetahuan sedar tentang peraturan bahasa tidak membantu pemerolehan. Pengetahuan sedemikian sekadar membolehkan individu mengilap struktur bahasa yang diperolehnya melalui komunikasi. Menurut beliau lagi, pengajaran bahasa sepatutnya berorientasikan komunikasi, bukannya melalui pembelajaran tentang peraturan bahasa. ‘ Monitor’ bertindak sebagai penyunting bahasa yang dikawal secara sedar. ‘Monitor’ dapat mengubah pertuturan yang dihasilkan melalui pemerolehan. Krashen,1982 (seperti dalam Noor Aina Dani, 2007) mengutarakan tiga syarat untuk menggunakan ‘monitor’. Antaranya:

a.    Masa

Penutur B2 memerlukan masa yang cukup agar dapat berfikir dan menggunakan peraturan bahasa dengan berkesan. Menurut Noor Aina Dani (2007), dalam perbualan biasa, penutur B2 tidak mempunyai masa yang cukup untuk berfikir tentang penggunaan peraturan bahasa. Penggunaan peraturan bahasa yang berlebihan menyebabkan penutur bercakap teragak-agak serta hilang tumpuan ke atas percakapan orang kedua.

 

b.    Bentuk

Menurut Dulay dan Burt,1978 ( seperti dalam Henry Guntur Taringan,1988), si penutur harus memusatkan perhatian kepada bentuk atau berfikir mengenai kebenaran atau ketepatan. Penutur sepatutnya berfikir tentang ketepatan bentuk bahasanya, tetapi dia mungkin leka dengan mesej yang hendak disampaikannya sehinggakan cara menuturkan bahasa tidak dipentingkan.

 

c.    Peraturan bahasa

Penutur perlu mengetahui peraturan bahasa kerana terdapat struktur-struktur bahasa yang rumit. Menurut Krashen, 1982 (seperti dalam Noor Aina Dani,2007) kebanyakan pelajar didedahkan kepada sebahagian kecil daripada jumlah tatabahasa sesuatu bahasa. Menurut beliau lagi, pelajar yang pintar sekalipun tidak mampu menguasai semua peraturan bahasa yang telah didedahkan kepadanya.

 

Hipotesis Susunan Semula jadi

Menurut Krashen (seperti dalam Noor Aina Dani, 2007), dalam hipotesis ini manusia memperoleh peraturan-peraturan bahasa dalam satu susunan yang boleh diramalkan.  Terdapat  peraturan bahasa yang terbit awal dan ada juga yang terbit lewat. Susunan itu berbeza daripada peraturan bahasa yang diajarkan di dalam bilik darjah. Menurut beliau lagi, susunan pemerolehan bahasa antara pelajar yang pendedahan B2nya berlaku di luar bilik darjah dengan di dalam bilik darjah adalah sama. Susunan pemerolehan bahasa yang semula jadi ini dianggap sebagai hasil daripada sistem bahasa yang telah diperoleh pelajar serta bebas daripada penggunaan monitor atau tatabahasa yang beroperasi secara sedar. Zamri Mahamod (2007) menyatakan bahawa “ pelajar Melayu yang mempelajari bahasa Inggeris sebagai B2 dapat menguasainya dengan mudah kerana tatabahasa bahasa Inggeris sudah banyak dipinjam dan diguna pakai dalam bahasa Melayu” (hal.141).


Hipotesis Input

Menurut Krashen (seperti dalam Noor Aina Dani,2007) semasa seseorang sedang menguasai struktur linguistik yang baru, pelajar akan melalui fasa penguasaan bahasa yang semula jadi dengan secara beransur-ansur. Hipotesis ini mengemukakan usul bahawa manusia memperoleh bahasa  dengan menerima ‘input’ yang dapat difahaminya. Zamri Mahamod (2007) menyatakan bahawa “ mereka yang mempelajari B2 dianggap mengalami perkembangan daripada tahap keupayaan i ( tahap keupayaan sekarang) menuju ke tahap i + l ” (hal.141). Menurut beliau lagi, untuk mencapai tahap i + l ini, mereka perlu mengetahui dan memahami unsur yang dimasukkan dalam kemahiran yang sedia ada untuk menjadikannya i + l. Hal ini demikian kerana unsur yang dimasukkan itu mestilah bersesuaian dengan tahap keupayaan mereka dalam penguasaan B2 iaitu tidak terlalu rendah atau terlalu tinggi aras kesukarannya. Krashen (seperti dalam Noor Aina Dani, 2007) menyifatkan konsep ini sebagai yang terpenting dalam pemerolehan B2 kerana terdapat percubaan untuk menjawab pertanyaan tentang cara manusia memperoleh bahasa.


Hipotesis Filter Afektif

Menurut Krashen (seperti dalam Noor Aina Dani,2007) dalam hipotesis ini, ‘input’ yang dapat difahami tidak akan digunakan oleh penutur B2 jika terdapat sekatan mental yang menghalang ‘input’ itu daripada digunakan dengan sepenuhnya. Dalam hipotesis ini juga, faktor-faktor afektif seperti motivasi, keyakinan diri dan imej diri yang baik dikatakan mempengaruhi seseorang untuk menguasai B2 dengan lebih mudah. Seseorang yang mempunyai motivasi diri yang lemah,kurang keyakinan diri dan  kurang kemahuan dikatakan membina satu tembok penghalang dalam minda yang menyebabkan seseorang sukar menguasai B2.

 
 
Rajah 3 : Cara Filter Afektif beroperasi
Sumber: dipadankan daripada Krashen,1982 ( seperti dalam Noor Aina Dani,2007
Berdasarkan rajah 3, sekiranya ‘filter’ menurun, ‘input’ akan sampai kepada LAD( Language Acquisition Device) lalu berubah menjadi kecekapan bahasa. Sebaliknya, jika ‘filter’ menaik,  ‘input’ akan tersekat dan tidak akan sampai kepada LAD. Oleh itu, kecekapan bahasa tidak akan diperoleh ( Sumber Krashen seperti dalam Noor Aina Dani,2007). Jelaslah bahawa faktor-faktor afektif boleh bertindak memudahkan atau menghalang penghantaran ‘input’ kepada LAD.