Pemerolehan bahasa kedua oleh kanak-kanak dan orang dewasa

Ervin – Tripp 1974 (seperti dalam Puteri Roslina Abdul Wahid, 2004) berpendapat bahawa lebih awal seseorang kanak-kanak itu mempelajari bahasa kedua dan bahasa asing, lebih baik lagi kerana berdasarkan pemerhatian kanak-kanak lebih cepat menguasai bahasa asing daripada orang tuanya. Menurut Wong-Fillmore 1988 (seperti dalam Puteri Roslina Abdul Wahid, 2004) berpendapat bahawa kanak-kanak hendaklah diajarkan bahasa kedua atau bahasa asing hanya setelah mereka menguasai bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan mereka.

            Sehubungan itu, sebenarnya terdapat beberapa cara kanak-kanak didedahkan kepada bahasa kedua. Didapati bahawa bagi sesetengah kanak-kanak, dua bahasa sudah pun wujud sejak dari lahir manakala bagi sesetengah kanak-kanak yang lain pula, pendedahan kepada bahasa kedua hanya bermula apabila mereka melangkah ke alam program pendidikan awal atau prasekolah. Puteri Roslina Abdul Wahid (2004) berpendapat bahawa perkembangan bahasa lebih banyak berlaku sebelum tiga tahun bagi seseorang kanak-kanak, oleh itu titik ini dijadikan sebagai titik beza untuk mengenal pasti kanak-kanak yang telah memperoleh dua bahasa sejak lahir dengan kanak-kanak yang didedahkan kepada satu bahasa sahaja atau bahasa pertama. Menurut Ervin-Tripp 1974 lagi (seperti dalam Puteri Roslina Abdul Wahid, 2004) pelajar yang paling peka serta senang menyesuaikan diri ialah anak kecil. Sebaliknya dalam kes orang dewasa yang tidak berpengalaman, sistem tersebut mudah disesuaikan pada titik masa berubah secara sendiri ke alam dewasa – leksikon.

            Kanak-kanak dapat menguasai bahasa pertama yang kompleks dengan mudah. Begitu juga halnya dengan pemerolehan bahasa kedua jika dibandingkan dengan pemelajaran bahasa kedua oleh orang dewasa. Menurut Boyer 1991 (seperti dalam Puteri Roslina Abdul Wahid, 2004), secara purata kanak-kanak telah memiliki keupayaan perbendaharaan kata lebih daripada 3000 patah perkataan menjelang tahun awal kemasukan kanak-kanak ke prasekolah. Oleh itu, agak sukar untuk meramalkan bahawa semua kanak-kanak telah mengausai bahasa pertama dengan baik pada waktu mereka memasuki alam persekolahan. Collier,1989, Cummins,1981 dan Ramirez,1991 (seperti dalam Puteri Roslina Abdul Wahid, 2004) memberikan pandangan bahawa kanak-kanak berupaya mengembangkan kecekapan berbual dalam bahasa kedua dalam tempoh dua tahun tetapi ia akan mengambil masa kira-kira lima hingga tujuh tahun untuk mengembangkan keupayaan akademik bahasa kedua tersebut untuk benar-benar berfungsi di dalam kelas. Puteri Roslina Abdul Wahid ( 2004), berpendapat bahawa seorang individu itu tidak pernah berhenti daripada proses pemelajaran bahasanya. Begitu juga halnya dengan seorang kanak-kanak yang akan terus mempelajari sesuatu yang baharu menggunakan bahasa yang terus berkembang dan berubah seiring dengan ilmu pengetahuannya. Oleh hal yang demikian dapat dirumuskan bahawa tidak terdapat peringkat yang terakhir yang paling tinggi dalam penguasaan bahasa dan tidak terdapat sebarang larangan bahawa sesiapa yang telah mencapai peringkat ini tidak perlu lagi mengalami proses pemerolehan bahasanya.