Kesimpulan
Dalam menghadapi era globalisasi dan perkembangan
teknologi multimedia, setiap bangsa bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh
mempelajari dan menguasai B2. Menurut
Mohd. Azidan Abdul Jabar ( 2005) dalam konteks pemerolehan B2 di peringkat
kanak-kanak banyak ibu bapa yang tidak dapat mengenal pasti masa yang sesuai
untuk anak mereka didedahkan kepada pemelajaran B2. Didapati bahawa banyak ibu
bapa yang terlalu ghairah untuk melihat anak mereka menguasai beberapa banyak
bahasa dengan pantas tanpa memikirkan kesan psikologi dan pemerolehan bahasa
yang mungkin akhirnya akan mengagalkan usaha dan matlamat ini. Kita perlu
menerima hakikat bahawa kemampuan kanak-kanak untuk membentuk peraturan yang
kompleks dan menstrukturkan tatabahasa yang digunakan disekeliling mereka dapat
dilakukan dalam masa yang singkat merupakan satu fenomena yang luar biasa.
Dalam
konteks sekolah, B2 bagi pelajar ialah bahasa asing yang dipelajari secara
formal dan dikukuhkan melalui latihan, latih tubi dan perulangan secara
berterusan, misalnya bahasa Melayu merupakan B2 bagi pelajar Cina dan India.
Guru yang mengajar bahasa Melayu harus bijak memainkan peranan yang sewajarnya
untuk memilih, mengubah suai dan menentukan prinsip yang sesuai untuk di
gunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Sesungguhnya, proses pemerolehan B2
dipengaruhi oleh pelbagai faktor sama ada berbentuk semula jadi atau
dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Oleh sebab itu, prinsip pengajaran yang
tidak sesuai perlulah diubah agar pembelajaran bahasa menjadi lebih menarik dan
mencapai objektif yang diharapkan. Menurut JYH Wee Sew (2005), B2 sangat
penting dalam perkembangan pendidikan, ekonomi dan komunikasi antarabangsa.
Negara kita amat memerlukan generasi aneka bahasa untuk membantu meningkatkan
ekonomi negara dan seterusnya mencapai status negara maju. Tanpa kemahiran
bahasa tamabahan ini, seseorang akan menjadi kekok di dunia aneka bahasa.