BAHASA ANTARA ( INTERLANGUAGE)
Umumnya, kajian tentang pemerolehan bahasa merupakan satu
bidang dalam ilmu bahasa yang melihat cara manusia memperoleh pengetahuan
tentang tatabahasa yang merangkum fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik
serta rumus-rumus yang menentukan kemampuan bercakap dan memahami sesuatu
bahasa yang didedahkan kepada mereka. Menurut Puteri Roslina Abdul Wahid,2004)
proses pemerolehan bahasa bermula daripada satu tahap mental semasa kanak-kanak
tidak memiliki pengetahuan tatabahasa dalam sesuatu bahasa sehinggalah semakin
meningkat pengetahuan mereka sesuai dengan
tahap mental kanak-kanak tersebut memilikinya. Secara umumnya dapat
dikatakan bahawa pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak dapat dikatakan mempunyai
ciri kesinambungan yang bergerak daripada ujaran satu kata yang sederhana
menuju kepada gabungan kata yang lebih rumit.
Selinker 1969
(seperti dalam Noor Aina Dani) istilah bahasa antara digunakan untuk merujuk
kepada peringkat peralihan bahasa iaitu dari bahasa pertama ke bahasa kedua
(B2). Menurut beliau lagi, bahasa antara bersifat sementara, sentiasa
berubah-ubah dan dibentuk oleh pelajar-pelajar B2 semasa menuju ke arah
penguasaan bahasa sasaran. Menurut Selinker 1972 (seperti dalam Puteri Roslina
Abdul Wahid, 2004) bahasa antara merujuk kepada bahasa transisi yang biasa
lahir daripada persekitaran pemerolehan bahasa kanak-kanak secara urutan (successive acquisition) dengan variabel
sosiolinguistik utamanya ialah ketidakhadiran rakan sebaya yang merupakan
penutur asli bahasa sasar dan sekiranya pemerolehan tersebut tidak dikawal
selia, sistem bahasa tersebut akan berkembang menjadi dialek dalam bentuknya
tersendiri. Nemser, 1971 (seperti dalam Puteri Roslina Abdul Wahid, 2004) pula merujuk bahasa antara sebagai ‘devian
bahasa kedua’ atau ‘kecekapan transisional’ atau ‘ sistem aproksimitif’.
Ellis,1985 (seperti dalam Puteri Roslina Abdul Wahid, 2004) mendefinisikan
bahasa antara sebagai pengetahuan bahasa kedua yang sistematik dan bebas
daripada bahasa pertama dan bahasa kedua. Sementara itu, Puteri Roslina Abdul
Wahid, 2004 pula memberi pengertian bahasa antara sebagai bahasa yang tidak
tergolong dalam bahasa pertama dan tidak juga tergolong dalam bahasa kedua, dan
bahasa ini berada di antara kedua-dua bahasa tersebut. Kajian bahasa antara bertujuan untuk melihat
hasil pemelajaran B2, metakrifkan, menjelaskan dan mengkategorikan fenomena
dalam bahasa antara. Oleh itu dapat dirumuskan bahawa bentuk bahasa antara
merupakan sesuatu yang spontan, bermakna dan sistematik serta mempunyai
peraturan tersendiri serta pemerolehan berlaku tanpa kehadiran penutur asli B2.