Pengenalan
Bahasa ibunda
ialah bahasa pertama yang mula-mula sekali dipelajari dan diperoleh seseorang
manusia dalam kehidupannya. Bahasa yang merupakan nadi dalam kehidupan
seseorang, bukan sahaja digunakan sebagai alat perhubungan sesama manusia
tetapi juga digunakan untuk berfikir dan yang lebih penting bahasa digunakan
untuk menguasai ilmu seterusnya untuk meningkatkan kemajuan bangsa dalam
pelbagai bidang. Penguasaan bahasa bukan sahaja melibatkan bahasa pertama malah
bahasa kedua (selepas ini digunakan B2). Mengikut Piaget (seperti dalam Tay
Meng Guat, 2006) semua kanak-kanak sejak lahir telah dilengkapi dengan alat nurani
yang berbentuk mekanikal untuk semua kebolehan manusia termasuklah kebolehan
berbahasa. Bagi Chomsky dan Miller
(seperti dalam Tay Meng Guat, 2006) alat yang khusus ini dikenali
sebagai ‘Language Acquisition Device
(LAD)’. Menurut Zulkifley Hamid (1994),
bahasa ibunda biasanya dapat dikuasai dengan agak sempurna apabila seseorang
individu menjangkau umur lima tahun. Tay
Meng Guat (2006) mengakui bahawa sama ada disedari ataupun tidak, sistem-sistem
linguistik dikuasai dengan pantas oleh individu kanak-kanak walaupun umumnya
tiada pengajaran formal. Dalam kajian psikolinguistik, proses pemerolehan
bahasa merupakan satu perkara yang rencam dan satu fenomena yang menakjubkan
dan luar biasa yang berlaku dalam kehidupan setiap manusia yang normal. Menurut
Tay Meng Guat (2006), pelbagai teori dari bidang disiplin yang berbeza telah
dikemukakan oleh para pengkaji untuk menerangkan cara proses ini berlaku dalam
kalangan manusia, khususnya kanak-kanak.
JYH Wee Sew (2005) menyatakan bahawa konsep B2
berubah mengikut pentadbiran, geografi dan institusi sosial. Dalam konteks
lisan, pemerolehan B2 ialah bahasa yang dipelajari di sekolah kerana bahasa
pertuturan lisan seperti bahasa Tamil bagi budak India merupakan bahasa
pertama. Sekiranya budak ini terpaksa menggunakan bahasa Melayu di sekolah,
maka bahasa Melayu akan menjadi B2nya. Oleh itu dapat dirumuskan bahawa B2
merupakan apa-apa jua bahasa yang dikuasai oleh seseorang selain bahasa pertama
atau bahasa ibunda. B2 mungkin dikuasai secara formal iaitu melalui pengajaran
dan pembelajaran di sekolah atau mungkin secara tidak formal misalnya melalui
penggunaan dalam komunikasi sehari-harian antara rakan atau rakan ahli
keluarga.