KAEDAH PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA

Abdullah Hassan 1989 (seperti dalam Zamri Mahamod,2007) menyatakan bahawa          “proses pembelajaran bahasa kedua (selepas ini ditulis sebagai B2) berlaku terhadap mereka yang melebihi umur 5 tahun iaitu apabila pembelajaran B2 itu tidak lagi berlaku secara semulajadi” (hal.142). Memandangkan hal itu, Krashen 1981 (seperti dalam Zamri Mahamod, 2007) menyenaraikan pelbagai kaedah yang dapat membantu dalam proses pembelajaran dan pemerolehan B2

a.    Kaedah tatabahasa terjemahan

Proses terjemahan merupakan cara yang penting dalam mempelajari perbendaharaan kata.  Menurut Zulkifley Hamid (1994) kaedah ini terdiri daripada dua komponen iaitu kompenan pertama yang merupakan kajian terperinci terhadap rumus-rumus nahu yang hendak dipelajari dan komponen kedua pula adalah penggunaan terjemah dalam pengajaran. Dalam kaedah ini, kefahaman terhadap isi tidak diberi keutamaan tetapi latihan tatabahasa yang menggunakan terjemahan ke dalam bahasa ibunda diberi penekanan. Pada permulaan pengajaran, para pelajar akan didedahkan kepada rumus-rumus nahu bahasa yang hendak dipelajari. Seterusnya, guru akan memberikan contoh tentang penggunaan rumus-rumus tersebut. Rumus-rumus kemudiannya akan dihafal oleh para pelajar. Kelebihan kaedah ini ialah penutur B2 dapat memahami tatabahasa B2 dengan lebih mudah dan menggunakannya dengan betul. Oleh itu, penguasaan terhadap perbendaharaan kata yang luas membolehkan seseorang lebih yakin ketika bercakap dengan sesiapa pun.

 
b.    Kaedah terus

Menurut Zamri Mahamod (2007), kaedah yang diperkenalkan oleh Michell West dan Harold Palmer sekitar tahun 1920 – 1935 menetapkan satu peraturan iaitu pelajar tidak dibenarkan menggunakan bahasa ibunda. Kaedah  ini kadangkala disebut juga sebagai kaedah tentera kerana kaedah ini berjaya digunakan dan memberikan kesan yang amat memuaskan semasa Perang Dunia Kedua. Dalam kaedah ini, penjelasan tentang makna perkataan yang dipelajari sebagai B2 dilakukan sepenuhnya menggunakan B2 juga. Menurut Zulkifley Hamid (1994), kaedah ini lebih mementingkan penguasaan kemahiran pertuturan daripada penulisan. Oleh itu, para pelajar yang mempelajari sesuatu B2 berkemungkinan mencapai tahap kefasihan yang memuaskan serta lebih berkebolehan menghasilkan tuturan secara spontan.

 
c.    Kaedah Dengar dan Sebut

Dalam kaedah ini, pembelajaran bermula dengan dialog yang mengandungi perbendaharaan kata dan unsur tatabahasa yang berfokus kepada pelajaran. Teknik dengar dan sebut sangat penting untuk menguasai kemahiran tatabahasa.
 

d.    Kaedah Ajuk – Hafaz

Dalam kaedah ini, tatabahasa dipelajari secara menghafaz beberapa ayat asas melalui ajukan.  Menurut Zamri Mahamod (2007), kaedah ini yang tercipta dalam Rancangan Bahasa Intensif oleh Persatuan Cendekiawan Majlis Amerika ini dikatakan amat berkesan kerana faktor dorongan yang kuat, latihan intensif, saiz kelas yang kecil dan model yang baik. Melalui kaedah ini makna ayat diberi dalam ungkapan biasa yang digunakan dalam bahasa ibunda secara umum dan bukan menterjemah perkataan demi perkataan. Kaedah ini sangat berkesan kerana melibatkan kemahiran lisan seperti latihan bercakap, latihan menyebut perkataan dengan betul dan kemahiran lisan yang lain.
 

e.    Kaedah Kod -  Kognitif

Dalam mempelajari sesuatu bahasa, seseorang harus mengetahui sistem bahasa iaitu hukum-hukum dan norma-norma tertentu yang terkandung dalam ilmu tatabahasa. Oleh itu, kaedah ini memberi penekanan kepada aspek bacaan dan tulisan yang berkaitan dengan sintaksis, morfologi dan fonologi. Dalam kaedah ini makna amat dititikberatkan dan aktiviti yang mencabar kekreatifan sentiasa diwujudkan.


f.      Kaedah Gerak Balas Fizikal Keseluruhan ( Total Physical Response : TPR)

Menurut Brown 1977 (seperti dalam Zamri Mahamod, 2007 ) kaedah ini menggabungkan kemahiran mendengar, memahami arahan dan bertindak berdasarkan arahan yang diberi. Melalui kaedah ini juga pelajar harus diberi peluang menunjukkan tindak balas dalam bentuk gerakan fizikal untuk membuktikan bahawa seseorang memahami maksud perkataan atau ayat yang dipelajari. Dalam pembelajaran dan pemerolehan B2, guru perlu menggunakan perkataan atau ayat yang mudah terlebih dahulu sebelum memberikan perkataan atau ayat yang sukar kepada pelajar. Melalui kaedah ini, pelajar B2 dapat memahami, mengingati dan menghafal setiap perkataan atau ayat sama ada ketika berkomunikasi mahupun dalam bentuk tulisan.


g.    Kaedah Suggestopedia

Brown 2000 (dalam Zamri Mahamod, 2007) menyatakan bahawa suggestopedia merupakan satu lagi inovasi dalam pendidikan yang menjanjikan kesan yang lebih hebat apabila seseorang menggerakkan fungsi otak ketika pembelajaran bahasa. Melalui kaedah ini, aktiviti yang dijalankan ialah membaca, melafazkan dialog, drama,lakonan dan sebagainya. Biasanya alunan muzik digunakan sebagai latar. Oleh itu, suasana pembelajaran yang tenang, selesa dan kondusif berjaya diwujudkan melalui kaedah ini.  Menurut Steinberg 1982 (seperti dalam Zulkifley Hamid ,1994) kaedah ini hanya sesuai digunakan untuk kelas yang jumlah pelajarnya kecil. Kaedah ini kurang sesuai untuk mereka yang tidak menggemari kesenian halus dan lagu-lagu klasik.