Pengenalan

"Acquisition requires meaningful interaction in the target language - natural communication - in which speakers is concerned not with the form of their utterances but with the messages they are conveying and understanding." Stephen Krashen


 

 

 Bahasa ibunda ialah bahasa pertama yang mula-mula sekali dipelajari dan diperoleh seseorang manusia dalam kehidupannya. Bahasa yang merupakan nadi dalam kehidupan seseorang, bukan sahaja digunakan sebagai alat perhubungan sesama manusia tetapi juga digunakan untuk berfikir dan yang lebih penting bahasa digunakan untuk menguasai ilmu seterusnya untuk meningkatkan kemajuan bangsa dalam pelbagai bidang. Penguasaan bahasa bukan sahaja melibatkan bahasa pertama malah bahasa kedua (selepas ini digunakan B2). Mengikut Piaget (seperti dalam Tay Meng Guat, 2006) semua kanak-kanak sejak lahir telah dilengkapi dengan alat nurani yang berbentuk mekanikal untuk semua kebolehan manusia termasuklah kebolehan berbahasa. Bagi Chomsky dan Miller  (seperti dalam Tay Meng Guat, 2006) alat yang khusus ini dikenali sebagai ‘Language Acquisition Device (LAD)’. Menurut  Zulkifley Hamid (1994), bahasa ibunda biasanya dapat dikuasai dengan agak sempurna apabila seseorang individu menjangkau umur lima tahun.  Tay Meng Guat (2006) mengakui bahawa sama ada disedari ataupun tidak, sistem-sistem linguistik dikuasai dengan pantas oleh individu kanak-kanak walaupun umumnya tiada pengajaran formal. Dalam kajian psikolinguistik, proses pemerolehan bahasa merupakan satu perkara yang rencam dan satu fenomena yang menakjubkan dan luar biasa yang berlaku dalam kehidupan setiap manusia yang normal. Menurut Tay Meng Guat (2006), pelbagai teori dari bidang disiplin yang berbeza telah dikemukakan oleh para pengkaji untuk menerangkan cara proses ini berlaku dalam kalangan manusia, khususnya kanak-kanak.

             JYH Wee Sew (2005) menyatakan bahawa konsep B2 berubah mengikut pentadbiran, geografi dan institusi sosial. Dalam konteks lisan, pemerolehan B2 ialah bahasa yang dipelajari di sekolah kerana bahasa pertuturan lisan seperti bahasa Tamil bagi budak India merupakan bahasa pertama. Sekiranya budak ini terpaksa menggunakan bahasa Melayu di sekolah, maka bahasa Melayu akan menjadi B2nya. Oleh itu dapat dirumuskan bahawa B2 merupakan apa-apa jua bahasa yang dikuasai oleh seseorang selain bahasa pertama atau bahasa ibunda. B2 mungkin dikuasai secara formal iaitu melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah atau mungkin secara tidak formal misalnya melalui penggunaan dalam komunikasi sehari-harian antara rakan atau rakan ahli keluarga.